salam sume~
2-3 hari nie sy malas menaip..tp sy rajen blogwalking *wink2*
so kali nie nak share yg sy kira amat menarik..sesuai untuk remaja2 mcm sy nie..chewahh :D
jom baca n hayati ^^
fitrah itu mampu mencampak anda setinggi langit!
” saya nak tanya sikit. macam mana nak tangani perasaan nak bercinta
ni ye.. kahwin lambat lagi, mak saya kata tunggu habis belajar.. saya
pun tak fikir pasal kahwin, tapi perasaan ni datang..”
Seorang sahabat berpangkat adik mengadu rasa baru-baru ini. Saya
berfikir sejenak. Soal fitrah, bukan boleh disekat. Itu respon pertama
saya.
Sebenarnya, ramai remaja keliru tika didatangi perasaan tersebut.
Sebahagian mereka menyalahkan diri sendiri dan berusaha mencampakkan
fitrah tersebut jauh-jauh. Fitrah yang mengusik jiwa itu dianggap
sebagai parasit yang bisa ‘merosakkan’ cita-cita dan masa depan. Saya
kurang bersetuju.
Lalu saya rumuskan satu panduan kepada sahabat tersebut. Soal fitrah
sukakan berlainan jantina, itu normal.
Hadirnya waktu ini, juga suatu
yang normal. Yang tidak normal, sukakan sesama jantina. Maka, usah hukum
diri sendiri sebaliknya ambillah perasaan tersebut sebagai motivasi.
Ketika anda didatangi perasaan tersebut, anda bayangkan perkahwinan
sebagai suatu yang berbaur mustahil. Ini silap. Jangan anggap
perkahwinan itu sebagai ‘terlampau jauh’ sehingga anda tidak mahu
memikirkannya. Perkahwinan itu soal jodoh, ia kerja mutlak Sang Penguasa
; Allah. Sebagai manusia yang beriman dengan takdir tersebut, kita
jahil tentang bila masanya dan siapa orangnya. Maka apa yang ada pada
kita adalah usaha. Dan usaha itu, perlu dimulakan dari sekarang.
Dengan hadirnya perasaan bernama fitrah itu, ubahlah diri dan
pemikiran anda untuk maju setapak. Anda bakal bergelar pemimpin kepada
sebuah keluarga. Anda bakal naik ke jawatan suami melalui AGM yang
dipengerusikan Tok Kadi. Itu suatu benda yang besar. Maka, benda sebesar
itu perlukan persiapan dari sekarang. Tak kanlah rancangan kahwin nanti
habis belajar, maka berfikir dan bersedia ke arah perkahwinan baru akan
bermula selepas habis belajar?
Tidak. Segalanya bermula di sini dan hari ini. Tingkatkan pengetahuan
dan bahan bacaan. Ubah personaliti diri. Bina daya kepimpinan. Maju
setapak ke depan dengan berusaha keras menjadi seorang pemuda yang
matang. Di samping pengajian di bilik kuliah, pengajian sampingan ke
arah Bait Muslim itu perlu turut sama digiatkan.
Sedar atau tidak, anda sedang bergerak ke arah perkahwinan yang
cemerlang. Melalui apa? Melalui tindakan bijak anda meraikan fitrah.
Bukan hanyut dalam arus fitnah. Anda tidak akan menjadi seorang yang
kuat berangan, leka bermain cinta, termenung siang malam dan hilang
fokus pada pelajaran. Semuanya kerana sebuah fitrah yang menyuntik
motivasi.
GANGGUAN?
Kita perlu mengubah minda dan tanggapan kita pada hal ehwal cinta, jodoh dan perkahwinan.
Kalau kita aktif dengan kerja dakwah di kampus, jangan jadikan rak
buku kita hanya penuh dengan buku-buku gerakan dakwah tarbiyah
semata-mata. Isikan juga dengan bahan bacaan tentang Baitul Muslim.
Petua membina rumahtangga bahagia, panduan menangani konflik
rumahtangga, pengurusan ekonomi keluarga, persoalan haid, nifas dan
istihadhah, kesemuanya adalah bacaan wajib bagi anda. Kenapa perlu ada
diskriminasi?
Ramai orang beranggapan semua perkara berkaitan rumahtangga sewaktu
di alam belajar, adalah gangguan kepada pelajaran. Ini silap. Pemikiran
sebegini cenderung menjadikan remaja lambat matang dan tidak berjiwa
besar. Mereka seolah ‘dilalaikan’ dengan pembelajaran bersijil
semata-mata, tanpa dititikberatkan nilai tambah yang lain. Pada mereka,
perkahwinan itu lambat lagi. Sekarang fikir belajar dahulu.
Maka ketika didatangi fitrah dan perasaan inginkan teman hidup,
mereka mula menggelabah. Terdesak kerana tidak nampak jalan yang
‘halal’, maka perhubungan jalan belakang menjadi pilihan. Mak ayah tidak
tahu dan pembelajaran juga dianggap ‘selamat’. Mabuklah mereka dengan
ucapan-ucapan kasih, rindu dan sayang. Lekalah mereka dengan keluar
berduaan yang akhirnya menjebakkan diri mereka ke kancah nafsu yang hina
lagi menghinakan.
Dalam masa yang sama, adakah soal menjadi pemimpin kepada keluarga,
membina keluarga bahagia dan menuju perkahwinan yang cemerlang menjadi
tumpuan dan fokus utama? Tidak. Mereka hanya leka bermain cinta, sedikit
pun tiada suntikan motivasi.
Sebahagian besarnya tewas di tengah jalan, lantas menanggung penyesalan yang tidak berkesudahan.
MULIA
Ingatlah teman. Fitrah itu tidak pernah menjadikan anda hina. Fitrah
itu secara dasarnya bertujuan untuk memuliakan anda sebagai anak adam.
Firman Allah ta’ala : ” Dan sesungguhnya telah kami muliakan Bani Adam..”
Tilik kembali ke dalam diri anda. Jika perkahwinan itu masih jauh
dari perancangan anda, saya tidak mengajak anda supaya menjadikannya
lebih cepat. Saya cuma mengajak anda mengubah cara fikir, dengan
menjadikan perkahwinan itu sebagai suatu yang sedang mampir. Bererti,
anda sedang menuju ke arahnya.
Maka, jika anda sedar hakikat tersebut, anda akan terus berusaha dari sekarang.
Contoh :
3 tahun lagi untuk berkahwin. Maka dalam buku perancangan anda,
segera ditulis. Tahun pertama, ingin hadam buku motivasi berkaitan nilai
komunikasi positif dalam rumahtangga. Juga buku penting berjudul ‘Men
Are From Mars, Women Are From Venus’. Tahun kedua pula, kajian tentang
pengurusan ekonomi keluarga beserta elemen tarbiyah asas suami dan
isteri. Tahun ketiga pula, kitab Tarbiyatul Awlad ( Pendidikan Anak-anak
) akan diperhalusi dengan teliti.
Melihat kembali apa yang anda tulis, anda akan dapati bahawa masa yang anda ada sangat singkat!
Tidak ada banyak masa untuk masih leka dengan dunia ‘ulala’
budak-budak muda. Tidak banyak masa untuk membaca komik dan bermain
games. Tidak ada banyak masa untuk mengorat si Timah dan si Minah. Tidak
ada banyak masa untuk melayan perasaan syok kepada pelakon drama Korea!
MOTIVASI
Percayalah, anda akan berubah menjadi seorang yang penuh dengan motivasi dan ‘mimpi-mimpi’ yang
bersedia untuk dijadikan realiti.
Anda beruntung jika masih muda dan perkahwinan masih jauh dalam
perancangan anda, kerana anda akan punya banyak masa untuk bersedia.
Jika anda sedar dan faham apa yang cuba saya sampaikan dalam entri ini, maka jangan ragu-ragu untuk berubah.
Asingkan diri anda dari kehidupan ‘biasa’ orang-orang bujang, kepada kehidupan ‘luar biasa’ orang-orang bujang.
Anda akan menjadi orang bujang yang rajin, kemas, matang dan positif
sebagai ganti kepada orang bujang yang pemalas, selekeh, kebudak-budakan
dan negatif.
InsyaAllah, jika anda sanggup mengambil fitrah itu sebagai Motivasi.
Sekian.
http://www.myilham.com/blog/2011/07/fitrah-yang-menyuntik-motivasi/