Thursday, June 28, 2012

Kitakah isteri yang dicari?

salam sume~

terjumpe blog akak nie..best jgk cara die menulis tp sy paling suke artikel nie..membuatkan kita berfikir jap sal rumah tangga n yg sewaktu dgnnya..



Dari pengalaman hidup melihat sikap dan karakter lelaki yang berada di sekeliling, maka insan yang bernama perempuan sering memerhati dan akhirnya mempelajari apakah ciri-ciri yang baik pada seorang suami.

Bukan lelaki sahaja yang bisa tidak tentu arah bila melihat perempuan solehah idamannya, bahkan yang bernama perempuan itu juga bisa bergetar hatinya melihat lelaki yang soleh. Hingga tersemat di sudut hatinya, berdoa dan meminta pada ALLAH agar dipilih oleh lelaki soleh itu..

Betul tak saudara-saudara perempuanku… :P

[Ya, bukan semua.. sebahagian perempuan tidak terusik hati pun dengan kebaikan dan kesolehan lelaki…]

Idealnya, semua yang memiliki hati perempuan inginkan bakal suami yang baik, bertanggungjawab, peramah, penyayang, beriman, beramal soleh, berilmu…

Ada yang inginkan yang kaya dan hensem..yang penuh sifat kelelakian.

Ada yang inginkan yang sekufu dan ‘sekepala’…

Ada yang inginkan sama-sama aktif dalam jemaah dan dakwah. Sama-sama bersemangat dalam kerja-kerja sosial dan kebaikan.

Namun, apakah realiti yang sering berlaku…?
Bila suami baik…

“ Abang ni baik sangatlah.. kalau ya pun nak buat baik, agak-agaklah sikit…” luah si isteri tidak puas hati si suami membeli kereta baru untuk ibu dan ayah mertua. Apatah lagi, suami tidak melayan permintaan isteri untuk bercuti ke negara empat musim. Sedangkan kereta itu untuk mengganti kereta lama yang telah terlalu uzur.

Bila suami bertanggungjawab…

“Abang ni asyik balik kerja lewat.. Bila tak kerja pulak, ada je urusan lain yang tak habis-habis.. Abang tinggalkan saya sorang-sorang layan anak kat rumah..”

Sedangkan suami pulang lewat kerana mengurus perniagaannya dengan penuh tanggungjawab. Kerana kemudiannya dia ingin melaksanakan tanggungjawab memberi makan minum pakai pada anak isteri. Kerana dia juga ada tanggungjawab dakwah dan membantu ummah, bukan sekadar mencintai isteri dan anak-anak.

Bila suami berkarakter penuh kelelakian, kita para isteri ingin mem ‘perempuankan’ diri si suami. Diajak suami bershopping baju dan kasut lama-lama, diajak suami bersembang dan bergosip lama-lama tanpa arah tuju, ingin melihat suami juga menangis terharu bila sesuatu yang menyentuh berlaku.. sedangkan itu semua jauh dari minat dan sifat kebanyakan lelaki..

Akan sabarkah kita dengan suami yang baik dan bertanggungjawab sebegini..? Yang berkarisma dengan kelelakiannya…?

Atau kita hanya ingin menjadi isteri yang memiliki suami yang lalai tanggungjawab kerana sibuk memenuhkan keinginan nafsu dan kehendak isteri yang tak pernah puas..?

Bila suami peramah..

“ Abang ni tak payah lah senyum kat semua orang, tak payah sembang dengan diorang selalu.. seronok la perempuan tu abang senyum kat dia, layan sembang..”

Padahal si suami cuba berbaik-baik dengan kakak ipar dan adik ipar perempuan supaya tidak dikatakan sombong dan dingin.

Bila suami berilmu, beriman dan beramal soleh…

“Abang ni asyik baca buku..asyik depan laptop menulis.. bila hujung minggu, sibuk dengan program dakwah, kelas quran lah, kuliah lah, daurah lah.. bila abang nak spend masa dengan saya dan anak-anak..!” ujar isteri dengan rasa sedih tak puas hati.

Sedangkan dulu si isteri mengagumi lelaki yang nampak ke depan dalam program dakwah. Si isteri terkagum-kagum dengan aura ilmu dan keimanan yang terpancar di wajah pemuda dakwah itu. Si isteri tertarik dengan kemurahan hati pemuda itu bersedekah. Si isteri dulunya teruja untuk bersama pemuda dakwah yang giat aktif..

Dan akhirnya meluahkan… “Lebih baik saya kahwin dengan orang biasa..”

Kerana setelah berkahwin dengan ustaz, pendakwah, agamawan, ilmuwan, jutawan, dermawan.. ternyata para isteri sukar untuk menerima gaya hidup suami yang kononnya dulu itulah ciri-ciri idaman.

Dan bagi yang bernikah dengan ‘orang biasa’, mereka berharap pula mendapat ‘orang-orang agama’.

Sedangkan nantinya, sukar para isteri untuk menerima apa-apa kesalahan dan kesilapan suaminya.. Orang agama diharapkan seperti malaikat suci diri sempurna peribadi.

“Tak sangka suami aku macam tu, dia tu kan penghafaz Al Quran..”

“ Suami saya tu namanya je pegawai di jabatan agama tapi…”

“Dengan orang lain sibuk berdakwah, dengan isteri dan anak sendiri tak ada masa…”

Sedangkan seorang suami itu- ‘orang agama atau orang biasa’ - mengharap kita menerima kelemahan dirinya seadanya.

Seorang suami itu harapkan kita bersabar dan kuat mengurus emosi sendiri dan keluarga sewaktu ketiadaannya. 
 
 
 
 
 

Seorang suami itu juga mengharap isteri tidak berhenti menuntut ilmu, agar mampu mendidik fitrah anak dan mencorak rumahtangga dengan suasana islami. Suami keluar berkerja dan berdakwah, isteri di rumah konsisten dan strategik mentarbiyyah [mendidik].

Suami berharap isteri berhenti bergosip dan bersembang kosong tentang artis atau orang lain, tentang fesyen, tentang perabot, make-up, tentang melancong yang memakan kos yang banyak dan topik lain yang menjauhkan famili dari kesederhanaan dan keredhaan tuhan.

Setelah bernikah, ternyata kita yang bernama isteri tidak sabar dengan ciri yang kita idamkan dulu..?

Atau kita yang tidak pandai membawa diri dengan karakter suami yang pelbagai bentuk dan gaya…?

Atau kita jarang sekali merasa cukup dengan masa, wang dan kemesraan yang suami kongsikan…?

Ingin yang sekufu, namun sedarkah bahawa sekufu itu boleh jadi kupu-kupu yang meninggalkan pasangannya jika kita tidak bersungguh berubah ke arah kebaikan…dan menjadi renggang jika kita tak pandai memimpin pasangan kepada kebaikan?

Manusia itu mungkin, mungkin pada satu tahap boleh sekufu.

Tapi realiti nya, manusia sentiasa dan kerap berubah. Kepada yang lebih baik atau lebih teruk. Tak akan terus sekufu.

Dan kita tak berubah dengan kadar dan cara yang sama dengan pasangan hidup. Apapun, moga perubahan itu destinasinya sama –menuju redha Ilahi.

Lalu sebenarnya, yang teramat penting adalah kemampuan kita para isteri membawa diri dalam rumahtangga yang dibina setelah membuat keputusan dengan istikharah dan musyawarah.

Mampu membawa diri yang bagaimana..?

Jika suami kaya, bagaimana untuk kita memahami dan menghormati gaya hidupnya yang berbeza dari kita ‘orang kampung’ (yang tak berapa kaya).

Jika suami orang kampung, bagaimana kita perlu bijak menyesuaikan diri dengan suasana kekampungan dan tidak menunjuk muka serba tak kena kerana ‘kebandaran’ kita.

Jika suami bijak atau bergulung ijazah hingga PhD, bagaimana untuk kita membina kecerdasan diri agar kita tidak seperti budak tadika yang banyak sangat tak tahu..

Jika suami miskin atau berpangkat lebih rendah, bagaimana untuk kita merendah hati dan bergaul mesra dengannya agar dia tidak merasa tertinggal di belakang isteri, kerana selamanya seorang suami harus di atas sebagai pemimpin yang wajar ditaati dan dihormati.

Jika suami sebaya atau lebih muda, bagaimana untuk kita taat dan redha dengan keputusannya, kerana kita rasa kita lebih matang dari dia atau kita dengan dia sama sahaja, bukan pandai sangat buat keputusan.

Jika suami lebih berusia, bagaimana untuk kita memahami dan meletakkan diri sejajar dengan banyak pengalaman dan pengetahuannya..

Jadi, simpan sebentar senarai calon suami idaman..

Ayuh kita buat senarai menulis apa kekurangan diri kita, apa skills dan value yang kita perlu tambah pada diri dalam rangka menjadi isteri idaman … apa senarai kekuatan yang perlu kita bina, agar kita mampu menjadi isteri yang pandai membawa diri, walau siapapun ditakdirkanNYA buat kita…

Di lempar ke lautan menjadi pulau, di lempar ke awan menjadi bintang yang berkerdipan..

Menjadi isteri yang bahagia bukan dengan mengharap, mengharap dan banyak menerima, namun dengan banyak memberi, memberi dan terus mencari kebaikan dalam setiap keadaan..

Sekian perkongsian, harap bermanfaat..
 

2 comments:

  1. sangat tersentuh.. setujut sangat2 dengan entri ni!!

    ReplyDelete
  2. semoga bley dijadikan panduan utk kite as muslimah :)

    ReplyDelete